Penerbitan Misteri Dilaila

Pembangunan

Misteri Dilaila ialah filem kelapan arahan Syafiq Yusof dan filem ke-41 terbitan Skop Productions. Filem ini juga ialah filem kedua terbitan bersama oleh Skop dan Astro Shaw selepas Abang Long Fadil 2 (2017). Menurut Syafiq, skrip filem ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dan beliau banyak mengkaji filem seram dari Eropah dan Korea untuk mendapat idea mengarahkan filem ini.[4][1]

Beliau percaya bahawa tiada filem Malaysia menghasilkan pusingan plot sebegini.[1] Kos pembikinan filem ini menelan belanja sebanyaK RM2.2 juta dengan penggambaran dijalankan selama 36 hari, bermula 26 Mac 2018 sehingga 1 Mei 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong. Cabaran yang dihadapi oleh Syafiq dan tenaga kerja Misteri Dilaila ialah cuaca dingin dan kerap hujan, beliau berkata: "Inilah kali pertama saya menjalani penggambaran di kawasan berhawa dingin dan kerap hujan. Mujurlah banyak babak pada waktu malam melibatkan pemggambaran dalam banglo.[4]

Skop Productions membelanjakan wang sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai sebuah hospital lama zaman penjajahan untuk dijadikan sebagai banglo. Beliau menggunakan khidmat pereka dalaman untuk membuat pengubahsuaian. Konsep gaya Inggeris dipilih bagi menambahkan suasana filem seram.[4][9]

Pemilihan pelakon

Pemilihan pelakon dibuat oleh Syafiq hasil perbincangan antara Skop Productions dan Astro Shaw.[10] Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dipilih menjayakan watak utama dalam filem ini. Menurut Syafiq, watak utama dalam filem ini dicipta khas untuk Zul, "Watak utama itu sangat sesuai dilakonkan Zul dan bukan pelakon lain. Sebelum ini, Zul banyak beraksi dalam cerita cinta dan aksi, kali ini dia cuba genre lain pula,”.[11] Misteri Dilaila ialah filem kedua Zul bersama Skop Productions selepas Evolusi KL Drift 2 (2010). Filem ini juga ialah filem sulung lakonan bekas finalis One in a Million musim kedua, Iz Sulaini.[12] Pelakon lain yang terlibat termasuk Namron, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Mas Khan, Kenji Sawahi dan Nafiez Zaidi.

Elizabeth yang memegang watak sebagai Dilaila pertama, mengakui bekerja dengan Syafiq, sedikit sebanyak meyakinkan beliau untuk melakukannya.[13][14] Sasqia, yang terkenal dengan peranan lakonan di televisyen, memegang watak sebagai Dilaila kedua, Misteri Dilaila ialah filem ketiga lakonan beliau dan filem sulung lakonannya sebagai pelakon utama.[15] Sasqia berkata mengenai wataknya: "Saya sangat suka dengan peluang ini sebab sudah lama nak buat aksi. Bagi saya, ia sangat menarik dan penuh misteri. Menariknya, saya boleh bermain dengan karakter Dilaila kerana sebelum ini penonton hanya nampak saya berlakon jahat saja. Dalam karakter ini, saya boleh bermain dengan perwatakan psiko, hipokrit dan berpura-pura, semuanya dalam satu,".[13][16]

Rujukan

WikiPedia: Misteri Dilaila http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/rupa-rupa... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/misteri-... http://www.astroawani.com/video-hiburan/misteri-di... http://www.gempak.com/artikel/15632/misteri-dilail... http://www.gempak.com/artikel/16019/misteri-dilail... http://www.imdb.com/title/tt9820594/ http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/62...